Friday, June 11, 2010

Majlis perkahwinan diserang, 40 maut


KANDAHAR 10 Jun - Sekumpulan pihak yang tidak dikenali melancarkan serangan nekad ke atas satu majlis perkahwinan di selatan Afghanistan lewat malam tadi, meragut 40 nyawa dan 74 yang lain cedera.

Menurut pegawai, butiran insiden itu di wilayah Kandahar serta motif serangan masih belum jelas, tetapi pemberontak sering menjadikan pegawai kerajaan dan polis di kawasan yang dikuasai Taliban itu sebagai sasaran serta menggunakan keganasan ke atas orang awam bagi menakut-nakutkan mereka.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Zemeri Bashary berkata, letupan itu berlaku pada pukul 9 malam waktu tempatan di daerah Arghandab, utara Kandahar.

Katanya, pengantin lelaki dan wanita, bagaimanapun terselamat.

Wilayah Kandahar merupakan kubu kuat Taliban yang bakal menjadi fokus operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan kumpulannya terlibat dalam serangan itu.

Jurucakap tentera AS Kolonel Wayne Shanks berkata, insiden itu bukan disebabkan serangan udara AS.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu kenyataan berkata, tiada anggota daripada pakatannya terlibat dalam serangan tersebut.

Seorang mangsa yang terselamat, Agha Mohammed berkata, tetamu sedang menikmati jamuan pada majlis perkahwinan itu apabila satu letupan berlaku, mengakibatkan satu bola api besar serta asap berkepul naik ke udara.

Katanya, skala serangan itu lebih serius berbanding letupan serangan biasa. - AP


Sumber : Utusan Malaysia..Di sini

No comments:

Post a Comment